Sunday, January 6, 2013

PEMAKANAN


1. Pemakanan

(a) Piramid Makanan
           Pemakanan seimbang merupakan tabiat memilih makanan yang hendak dimakan dengan tujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan. Makanan yang seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul. Kekurangan nutrien boleh menyebabkan berlakunya malnutrisi. Piramid makanan merupakan panduan pengambilan makananpada kadar tertentu mengikut kumpulan dan jenis makanan.




(b) Kadar Pengambilan Makanan
      Tenaga dan zat makanan yang kita peroleh bergantung pada jumlah dan jenis makanan yang kita makan pada setiap hari. Makanan akan membekalkan tenaga dan zat yang diperlukan oleh tubuh badan untuk membesar, bermain, belajar dan berfikir.





































(c) Kepentingan Pengambilan Makanan Seimbang
        Pemakanan yang seimbang boleh mengelakkan perkembangan mental seseorang itu terganggu. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu terganggu dan mengalami pelbagai kemudaratan. Keadaan ini juga menyebabkan kita mudah berasa letih. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah sekiranya seseorang kekurangan sumber vitamin c dan zat yang penting, mereka akan menghadapi masalah daya ingatan. Hal ini juga menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Sudah terang lagi bersuluh, pemakanan seimbang menjadikan pemikiran manusia lebih stabil dan berdaya tahan persis cogan kata badan sihat otak cerdas.
      Kita mengakui hakikat bahawa, pemakanan seimbang juga dapat membekalkan vitamin yang cukup kepada badan seseorang. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih sihat dan cergas. Sebagai contoh, vitamin c amat diperlukan untuk kesihatan kulit. Vitamin ini sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk pembuluh darah, dan penyembuhan luka. Vitamin C juga membantu dalam proses metabolisme beberapa jenis asid amino dan hormon. Antara pemakanan seimbang yang terdapat dalam piramid makanan ialah buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Oleh itu, keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan manusia lebih sihat.
     Pengambilan makanan seimbang juga dapat mengelakkan seseorang daripada dijangkiti penyakit. Dengan cara ini,seseorang itu tidak mudah dijangkiti penyakit. Penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi dapat dielakkan.Hal ini bersesuaian dengan peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan sihat sepanjang hayat.
       Pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti (kegemukan) dalam kalangan masyarakat . Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup berkhasiat. Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.

No comments: